"Amboi, seronoknya berbual! Sampai aku dah ada dekat sini pun korang tak perasan!" Tegur aku dengan nada sindiran. Mereka bertiga hanya tersengih seperti kerang busuk. Atiqah mempelawa aku untuk duduk di sebelahnya. Aku hanya menurut. Setelah itu aku dibahagikan tugas untuk membersihkan daging yang telah dipotong. Sedang aku leka membersihkan daging tersebut, Intan menegurku. "Hang pergi mana lama tak nampak?" Aku hanya tersenyum. "Ha ah kan, lama hang hilang. Lagi sorang si Ain. Dah lama jugak aku tak nampak dia. Adalah dalam dua tiga hari dah." Najwa menambah. Dengar sahaja Najwa menuturkan nama Ain, lantas aku membuka mulut. "Aku sibuk sikit dua tiga hari ni. Ada hal yang terpaksa aku uruskan." Jawab aku sambil meneruskan aktiviti membersihkan daging yang telah mereka potong itu.
Sebenarnya aku yang memberikan daging itu kepada Atiqah semalam. Tetapi dengan pertolongan adik aku. Aku menyuruhnya menghantarkan daging-daging ini ke rumah Atiqah, boleh juga dibuat lauk untuk malam merewang nanti. Sedang aku ralit membersihkan daging tersebut, kedengaran Atiqah memanggil namaku. "Kertas." Pelik. "Ya? Ada apa?" Jawab aku sambil tersenyum. Ya, aku sendiri tidak tahu kenapa aku tersenyum acap kali menjawab persoalan mereka. "Aku dengan Ain nak minta maaf dekat hang, pasal kes minggu lepas." Kenyataan yang dikeluarkan Atiqah sebentar tadi benar-benar membuatku mengukir senyuman ikhlas. 'Akhirnya, kau ungkapkan jua ayat hikmat itu. Tapi malangnya, sudah terlambat.' Aku berkata-kata di dalam hati. Melihatkan aku diam tak bersuara setelah seberapa lama kenyataannya diutarakan, Atiqah menegurku lagi. "Kertas? Hang dengar dak apa aku kata ni?" Aku tersenyum. "Dengar." Hanya itu yang mampu ku jawab. Najwa dan Intan hanya memandang sesama sendiri. Mana tidaknya, selalunya sepatah orang tanya, satu muka surat karangan aku balas.
Usai selesai memotong dan membersihkan daging, kami berempat menuju ke ruang tamu rumah. Sebelum itu, aku mengikut Atiqah ke belakang rumah, mahu menyerahkan daging-daging mentah yang telah siap diproses sebentar tadi. Najwa dan Intan menunggu kami di kerusi yang diletakkan di tepi tingkap. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di atas kerusi kosong itu, Atiqah mula bersuara. "Aku harap hang dapat maafkan aku dengan Ain. Aku menyesal sebab buat macamtu dekat hang. Maafkan aku. Maafkan Ain." Aku hanya tersenyum. Kali ini senyumanku lebih sinis dari sebelum ini. "Ok." Hanya sepatah yang mampu ku jawab. Tidak mahu keadaan menjadi kekok, giliran aku pula untuk bersoal. "Mana Ain? Hang kan bestfriend dia." Sindir? Ya, itu memang niatku. Atiqah hanya tertunduk memandang lantai. "Aku tak tahu. Lepas ja kejadian minggu lepas tu, Ain terus hilangkan diri." Air mata Atiqah seperti mahu menitik tapi ditahan jua. Najwa dan Intan hanya memandang riak wajahku. Aku dalam dilema antara untuk ikut sedih atau terus tersenyum sinis. Cuak juga kalau rahsia terbongkar, aku memilih untuk turut bersedih. Drama? Baru sedikit.
Malam pun tiba. Keluarga Atiqah begitu gembira untuk menerima keluarga ipar baru esok. Setelah penat merewang, keluarga Atiqah menyediakan jamuan makan untuk penduduk kampung yang turut sama membantu dalam aktiviti rewang tadi siang. Daging yang kami proses tadi dimasak gulai. Enak baunya. Orang tua-tua hanya menyedok gulai dan bukan dagingnya. Hanya Atiqah, Najwa dan Intan yang melahap daging tersebut sehingga licin. Mereka turut menambah nasi untuk kali yang kedua. Selesai jamuan makan, kami berempat memilih untuk melepak di dalam khemah yang sudah dilengkapi dengan meja dan kerusi untuk para tetamu. Sebelum ke khemah, kami masing-masing mengisi air sirap di dalam cawan dan membawanya sekali ke khemah. Intan meneguk air yang sudah tinggal setengah cawan sampai habis. Lalu dia terus bertanya secara umum, "daging tadi tu beli di mana? Ke ada orang yang kasi?" Aku hanya diam, menunggu jawapan dari orang yang sepatutnya.
"Kertas yang bagi semalam. Adik dia tolong 'pass' ke aku." Intan dan Najwa hanya mengangguk mengiakan. "Mana hang dapat daging tu, Kertas? Beli dekat mana? Liat, sedap." Giliran Najwa pula bersuara. Akhirnya, tiba jua giliran aku untuk bersuara. "Oh, itu daging sahabat hampa, Ain. Aku lapah siap-siap dagingnya dari tulang, supaya senang nak diproses. Tulangnya ada aku tanam di belakang rumah aku. Kalau nak melawat, kasi tahulah. Boleh aku sediakan air mawar." Mendengarkan kenyataan aku, Atiqah jatuh terjelopok di atas tanah. Akibat terlalu terkejut, dia meninggal pada saat itu juga. Intan dan Najwa memuntahkan kembali semua isi makanan yang mereka telan tadi. Walaupun sudah tiada isi makanan untuk dimuntahkan, mereka tetap menjolok jari ke dalam tekak akibat terlalu loya. Akibatnya, mereka muntah darah dan meninggal di tempat kejadian. Melihatkan mereka menderita, aku sudah mampu tersenyum bahagia. Terima kasih sahabat, kalau tidak bukan kerana mulut kalian, tak merasalah aku nak bahagia sekarang. Ini balasan untuk sahabat yang suka mengumpat sahabat sendiri.
No comments:
Post a Comment