Sunday, 5 April 2015

Lunak

            Pintu bilik air aku kuak perlahan. ‘Tak kunci rupanya. Perempuan zaman sekarang semua benda dia orang ambil mudah.’ Usai sahaja pintu bilik air dikuak, kelihatan satu pemandangan yang selalunya mempersonakan setiap jejaka yang melihatnya. Tapi tidak termasuk aku. Tak selera tengok mangsa sendiri. Tanpa menunggu masa untuk Fara sedar yang aku berada di belakangnya, aku terus menghayunkan kapak yang ku asah semalam ke tengkuknya. ‘Sekali hayun saja sudah terpisah kepala dengan jasad. Dasar perempuan lemah!’ Malas nak berleter seorang diri dalam bilik air itu, aku terus memulakan kerja aku. Perkara pertama yang harus dibuat mestilah berkaitan mulutnya. Kan ada pepatah ‘kerana mulut badan binasa.’ Ini jugalah penyebab kenapa perempuan ni aku tolong tarikkan nyawanya bagi pihak malaikat.
            Kepalanya yang bergolek jauh ke tepi kolah itu aku capai. Sungguh, wajahnya yang ayu itu mampu mencairkan semua jejaka di kampung ini. Tapi, dia dah buat hal dengan aku. Tiada masa aku nak cair dengan manusia seperti ini. Lantas aku keluarkan pisau Rambo dari kocek seluarku, dan aku pegang bibir mungilnya. Aku elus perlahan sambil mengamati wajahnya. ‘Sudahlah. Meluat pulak aku tengok. Puih.’ Aku ludah ke bibirnya dan zasss! Sekali rentap dengan pisau Rambo ku sahaja sudah mampu membelah bibirnya menjadi empat bahagian. Lalu aku robek bibirnya sampai dagunya terkoyak. Hidungnya aku kerat sehingga menjadi selaras dengan pipi. ‘Cantiknya!’ Aku tersenyum sendiri tatkala melihat corak abstrak di dinding bilik air itu. Ingat senang nak dapat corak begitu? Heh. Aku tahu aku artistik.
            Selesai bahagian mulut dan hidung, aku teruskan ke bahagian mata. Ya, mata dia memang redup. Lagi redup dari pohon yang rendang. Heh, ingat aku kisah? Lantas aku benamkan pisau Rambo aku ke dalam mata redupnya. Tarik keluar, benam lagi. Tarik lagi, benam lagi. Aku ulang perbuatan yang sama sehingga bola matanya hancur seperti daging kisar. ‘Fuh, daging kisar. Sedap!’ Bahagian mata, selesai! Bahagian terakhir di kepala; telinga. Ini hal senang. Sekali harung je dah selesai. Aku pegang telinganya sehingga kelihatan seperti orang capang, lalu aku lalukan pisau Rambo ku di ruang antara telinga dan kepala. Sekali lalu sahaja, telinganya terputus dari tempat asalnya. Aku lemparkan picisan telinga itu ke lantai. Aku belum puas! Aku harus bertindak cepat!
            Kepala yang sudah aku selesaikan itu aku lempar masuk ke lubang jamban. “Kau duduk situ diam diam! Biarkan aku habiskan kerja aku dulu!” Aku berteriak sendiri. Adrenalin di dalam tubuhku semakin memuncak. Aku melutut di sebelah badan yang telah terpisah dari kepala itu, lalu aku capai bahagian tangan kanan. Aku keluarkan kembali kapak yang telah diasah, lalu aku hayunkan di pelipat tangannya. Terputus! Aku gembira kerana kerjaku kali ini jauh lebih mudah dari sebelum-sebelum ini. Aku lakukan perkara yang sama untuk tangan kirinya.
Selesai sahaja aku uruskan bahagian tangan, kakinya pula menjadi mangsa aku. Sebelum itu, aku pijak-pijakkan dulu di bahagian lutut. Dengar sahaja bunyi tulang patah, aku tersenyum galak. ‘Seronok betul kerja kali ni.’ Aku ambil kembali kapak tadi, aku hayunkan di lutut kaki kirinya. “Ala, tak putus pulak! Keras betul tulang kau ni!” Heh, tetiba aku rasa perempuan ni menyusahkan aku. Oh memang pun, sebab itu dia jadi begini. Aku teruskan kerja aku sehingga selesai. Aku tikam bahagian perutnya sehingga bunyi pisau terkena lantai. ‘Ha, tembus pun! Ingatkan kenyal sangat isi kau.’ Lantas aku tarik kembali pisau yang telah ku benamkan, dan aku benamkan sekali lagi. Kali ini, aku robek keluar isi perutnya. ‘Fuh, panjang betul usus kau!’ Aku tergelak sendiri.
            Usai 30 minit melakukan kerja aku, akhirnya semuanya selesai. Tubuhnya hancur aku kerjakan. Isi perutnya aku robekkan sampai kosong perutnya. Aku belum puas! Aku capai kembali kepalanya yang aku humban ke dalam lubang jamban tadi. Lalu aku tatap mukanya yang dah hancurkan aku kerjakan tadi. Perlahan aku bisikkan ke tapak telinganya yang sudah putus, “Lain kali, jangan menyibuk nak sertai pertandingan menyanyi kalau adik aku dah masuk. Kau ingat suara kau lunak sangat ke sial? Ini padahnya kalau itu yang kau anggap. Terimalah nasib yang sama macam kawan kau tu.” Aku baling kepala tersebut ke dinding. Bergolek-golek kepala itu di lantai. Aku puas. Ya, aku puas.
            Selepas mencuci tangan dan membersihkan pisau Rambo dan kapak yang aku gunakan tadi, aku berjalan keluar dari rumah itu sambil bersiul. Aku menapak balik ke rumah dengan hati yang gembira. Kelihatan adikku sedang berbasikal menuju ke rumah. Dia tersenyum kepadaku, senyum yang penuh dengan makna. Aku bahagia melihat senyuman adikku yang indah itu. Aku nak senyuman itu kekal sampai bila-bila. Kalau ada yang menghalang aku dari melihat senyuman itu, akan ku kerjakan sampai lumat. Itu janji aku.



Sehari sebelum…

            Kelihatan adikku, Mira sedang menangis teresak-esak di tangga rumah. Aku mendekatinya untuk bertanyakan masalah yang sedang dihadapi. “Eh, kenapa ni dik?” Mira hanya tersengguk memandangku. Sedu akibat menangis terlalu lama barangkali.
 “Abang, adik nak masuk pertandingan menyanyi minggu depan. Tapi, Fara dan Diana, dia orang ejek adik. Katanya suara mereka lagi lunak dari suara adik. Adik sedih kena caci depan orang macam tu, bang.” Mira terus menangis.
Aku tak sanggup melihat adikku menangis kerana orang yang sama lagi. Cukuplah kali ini dia menangis kerana mereka. ‘Ini yang terakhir kali.’ Janjiku pada diri sendiri. “Adik jangan risau. Lepas ni dia orang takkan kacau adik dah.” Mira hanya mampu tersenyum dalam tangis. ‘Ini yang terakhir kali. Ya, terakhir kali.’ “Adik tunggu dekat rumah sampai abang balik, ok? Abang ada kerja sikit.”

No comments:

Post a Comment