Aina nampaknya macam sayang sangat ke Imran ni. Walaupun perangai Imran kadang-kadamg menjengkelkan, tapi sebab sayang, dia pedulikan saja perangai tunangnya itu. Kadang-kadang, kalau mereka sempat untuk berjumpa, aku akan ikut sama. Sebab aku dengan Imran 'officemate'. Dia orang pun berjumpa time waktu makan tengahari. Nak tak nak, terpaksalah aku ikut atas desakan Imran. Ada satu hari tu, Aina melemparkan kata-kata kesat terhadap Imran hanya kerana Imran dan aku terlambat sampai di tempat yang dijanjikan. Bukan lambat mana pun, hanya lambat 5 minit sahaja dari masa yang dijanjikan. Panas pulak hati aku.
Usai sahaja berjumpa dengan Aina untuk memutuskan pertunangan mereka, aku membawa Imran ke sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari pejabat Aina. Malas pula rasanya nak 'drive' jauh-jauh. Aku pesan air untuk aku dan Imran pesan makanan untuk diri dia sendiri. Ketika Imran sedang menikmati makanannya, aku perhatikan raut wajah Imran. Tenang tapi aku tahu, jauh di sudut hatinya, dia berat nak melepaskan Aina. Bukan dia tak sayang akan tunangnya itu, tapi dia buat semua ini bersebab. Kalau sebelum kahwin pun Aina lebih mementingkan kerjaya sehingga persiapan kahwin pun disuruhnya si Imran yang siapkan, apa pula nak jadi lepas dah kahwin nanti? Jauh bukan pemikiran kami? Itulah kenyataan. Aku tahu Imran pun nakkan benda yang sama dari Aina; luangkan masa untuk dia. Ada dengan dia kerap kali. Tapi Aina tak mampu nak tunaikan permintaan semudah itu. Tak apa, biar aku 'settlekan' untuk kau orang.
Sampai saja di rumah, aku terus menuju ke dapur. Kelam kabut aku menyelongkar almari di dapur, mencari pisau pemotong daging. Hampir 15 minit juga aku bermandikan peluh mencari pisau tersebut, akhirnya jumpa! Sekarang apa lagi yang aku perlukan? Ya. Dawai besi, playar, pen penanda dan cangkul. Gelisah aku mencari semua peralatan itu di dalam rumah. Nasib baik semuanya ada. Tak perlulah aku beli lagi. Aku letakkan semua peralatan aku tadi di dalam bonet kereta. Panaskan enjin dan terus menuju ke rumah Aina. Ya, aku harus cepat sebelum Aina memaklumkan berita tentang pertunangannya dengan Imran yang sudah berakhir. Tak sampai 15 minit 'drive', aku sudah sampai di depan rumah Aina. Aku berlari masuk ke dalam rumahnya sebab aku tahu dia tinggal seorang diri, jadi lebih mudahlah kerjaku nanti.
Masuk saja ke dalam rumah, aku terus menapak ke tingkat atas. Aku buka pintu bilik utama dan aku dengar bunyi simbahan air dalam dalam bilik air. Aku tak tunggu lama dah, aku terus tendang pintu bilik air tersebut dan aku tampar muka Aina sehingga pengsan. Selesai satu tugas. Tugas seterusnya, mengheret Aina masuk ke dalam kereta. Itu pun sudah selesai. Sudah selesa Aina aku tempatkan di tempat duduk belakang, terus aku menuju ke rumah Imran pula. Dekat sahaja, tak sampai 10 minit pun perjalanan sudah sampai. Sama juga, tidak aku tunggu lagi, aku terus berlari masuk ke dalam rumah Imran. Dia sedang leka berbaring di ruang tamu sambil menonton TV. Tidak sempat dia menuturkan persoalan, aku terus membelasahnya sehingga pengsan. Aku seret tubuh Imran ke kereta. Aku letakkan di atas tubuh Aina. "Sabar kejap tau kau orang. Kejap lagi kau orang akan bersama."
Kali ini perjalanan balik ke rumah ambil masa sedikit kerana tugas kecilku telah selesai, bolehlah aku bawa dengan relaks sedikit. 30 minit perjalanan, sudah kelihatan rumahku tersergam indah. Aku parkirkan keretaku di 'porch' lalu aku seret keluar tubuh Imran dan Aina masuk ke dalam rumah. Tubuh mereka aku hamparkan di ruang tamu. Bolehlah aku buat kerja sambil tengok TV. Aku mulakan dengan Aina. Aku tandakan garisan putus-putus dari ubunnya sampai ke bawah pusat. Aku lakukan perkara yang sama pada tubuh Imran. Ah terlupa pula, pisau! Aku berlari menuju ke dapur untuk mengambil pisau lipat di atas peti ais. Aku meluru kembali ke ruang tamu lalu aku dekati tubuh Aina. Aku capai tangan kanannya, kemudian aku lalukan pisau lipat itu di pergelangan tangannya. Darah merecik-recik mengenai sofaku. 'Harap-harap matilah.' Aku berharap di dalam hati. Aku lakukan juga perkara yang sama pada Imran. Darah Imran juga merecik-recik mengenai sofaku. Aku biarkan lalu aku mulakan kerjaku.
Aku ambil pisau pemotong daging yang telah aku asah tadi siang dan aku letakkan di ubun-ubun Aina. Chakkkkkkkkkk! Aku tetak ubunnya. Darah usah disebut, merambu-rambu keluarnya! Pedulikan. Aku tetak lagi dan lagi dan lagi. Sehinggalah tiba di atas pusat Aina. Kemudian aku habiskan kerjaku pertamaku di situ. Siap satu kerja! Tiba pula giliran Imran. Aku lakukan perkara yang sama terhadap Imran. Aku tetak kepalanya di tengah-tengah, hingga ke leher kemudian ke dada bidangnya sehinggalah ke penghabisan. Siap dua kerja. Yang terakhir bakal menyusul. Aku capai badan Aina yang sudah tinggal setengah itu, dan aku gabungkan dengan badan Imran yang telah ku tetak setengah tadi. Aku cucukkan dawai besi di badan Aina dan aku sambungkan di badan Imran. Aku jahit, jahit dan jahit sampai habis. Aku lakukan perkara yang sama juga untuk badan mereka yang lagi setengah. Aku jahit, jahit, jahit sampai ke hujung kepala. Selesai! Fuh, penat pula rasa.
Aku menuju ke dapur untuk meneguk segelas air kosong. Aku cuci tangan yang penuh dengan darah mereka tadi. Aku kembali semula ke ruang tamu. Aku lihat kembali separuh tubuh Aina yang aku cantumkan dengan separuh tubuh Imran. Rasa kelakar pula sebab wajah mereka langsung tidak serupa. Malas nak tunggu lama-lama lagi takut rumah berbau hanyir, aku seret tubuh mereka yang telah aku cantumkan tadi ke laman belakang. Aku cangkul tanah yang sekangkang kera itu mengikut skala liang lahad. Selesai sahaja mencangkul, aku golekkan tubuh mereka ke dalam lubang yang telah aku gali. Sempurna! Perfect! Aku tersenyum girang.
Sambil bersiul kecil, aku kuburkan tubuh mereka di dalam lubang itu. Selesai sahaja tugas terakhirku, aku tersenyum sampai ke telinga. Puas hati dengan tugasku. Sebelum menapak masuk ke dalam rumah, sempat juga aku berpesan kepada mereka yang sedang bahagia di dalam tanah itu. "Ha, itu, aku dah tunaikan impian kau orang yang nak selalu jumpa, yang nak selalu bersama, nak selalu ada teman di sisi. Dah, jangan merungut dah lepas ni. Kalau dahaga dekat dalam sana, panggillah aku. Nanti aku siramkan air."